MBPJ rangka bajet RM1.017 bilion tahun depan, fokus perkhidmatan teras

18 Dis 2025, 9:00 AM
MBPJ rangka bajet RM1.017 bilion tahun depan, fokus perkhidmatan teras
MBPJ rangka bajet RM1.017 bilion tahun depan, fokus perkhidmatan teras

PETALING JAYA, 18 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merangka bajet berjumlah lebih RM1.017 bilion bagi tahun hadapan, melibatkan RM521.74 juta untuk perbelanjaan dan RM496.14 juta bagi hasil.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata daripada jumlah perbelanjaan tersebut RM411.26 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM110.48 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

Menurut beliau, perbezaan antara hasil dan perbelanjaan itu menjadikan MBPJ mencatatkan defisit bajet RM25.6 juta.

“Walaupun berdepan defisit, bajet ini dirangka secara berhemah dan strategik bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan teras kepada warga Petaling Jaya terus terpelihara.

“MBPJ akan terus memperkukuh pemantauan pelaksanaan bajet supaya setiap perbelanjaan memberi pulangan nilai terbaik kepada rakyat,” katanya pada Mesyuarat Penuh MBPJ di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Zahri berkata, RM150,000 diperuntukkan tahun depan bagi melaksanakan Program Bandar Bebas Halangan yang menekankan konsep reka bentuk sejagat di ruang awam, bangunan dan kemudahan masyarakat.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan golongan warga emas, orang kelainan upaya (OKU), wanita dan kanak-kanak mendapat akses yang adil serta persekitaran kehidupan yang berkualiti.

“Antara pelaksanaan utama ialah audit akses di bangunan awam, pusat bandar, laluan pejalan kaki dan taman awam, selain menaik taraf 23 pusat bandar di Petaling Jaya serta pemberian penarafan kepada pemaju dan pemilik bangunan yang mematuhi prinsip reka bentuk sejagat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Petaling Jaya turut beraspirasi menjadi sebuah ‘Learning City’ dengan peruntukan RM320,000 bagi menjayakan pelbagai program pembelajaran komuniti.

“Antaranya memperkukuh perpustakaan, pusat komuniti dan Pusat Sebaran Nasional (Nadi), memperkasa kemahiran digital masyarakat serta penganjuran PJ Learning City Festival sebagai acara tahunan.

“Selain itu, Ekspo Buku Petaling Jaya 2026 dan rangkaian pembelajaran inklusif merentas institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat turut dilaksanakan bagi memperluas akses ilmu kepada semua,” katanya.