ad

MBPJ sedia RM12.2 juta senggara sistem saliran, persiapan hadapi perubahan iklim

16 Okt 2025, 8:35 AM
MBPJ sedia RM12.2 juta senggara sistem saliran, persiapan hadapi perubahan iklim

PETALING JAYA, 16 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM12.2 juta bagi kerja penyelenggaraan sistem saliran tahun depan sebagai ikhtiar memperkukuh daya tahan bandar raya itu terhadap risiko banjir dan perubahan iklim.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata peruntukan berkenaan sebahagian daripada langkah menyeluruh MBPJ memastikan Petaling Jaya kekal selamat, bersih dan berfungsi sebagai bandar mampan.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon menunjukkan buku Anggaran Belanjawan Tahun 2026 yang bertemakan PJ Mampan, Bahagia dan Sejahtera di Ibu Pejabat MBPJ pada 16 Oktober 2025. Foto MBPJ

“MBPJ terus melaksanakan program penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur seperti jalan, longkang, cerun, lampu jalan, dewan, pasar serta gerai bagi memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.

Berucap ketika membentangkan Bajet MBPJ 2026 di ibu pejabat MBPJ hari ini, Mohamad Zahri berkata MBPJ turut memperuntukkan RM5.7 juta bagi kerja menaik taraf jalan, manakala RM3.3 juta disalurkan untuk penyelenggaraan cerun di empat zon.

Selaras aspirasi bandar pintar dan selamat, beliau memberitahu MBPJ juga menambah baik sistem pemantauan melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih bernilai RM1.84 juta bagi memantau jenayah, bencana alam dan aktiviti pembuangan sampah haram.

“Sebanyak 30 unit CCTV baharu akan dipasang di 27 lokasi menjadikan keseluruhan 86 unit di 83 titik panas dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi,” jelasnya.

Terdahulu, beliau membentangkan bajet perbelanjaan keseluruhan RM521.7 juta meliputi perbelanjaan mengurus RM411.2 juta dan pembangunan RM110.5 juta, dengan tumpuan kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar inklusif dan mampan.