PBT diberi seminggu kumpul data 'hotspot' sampah haram - EXCO

15 Dis 2025, 7:16 AM
PBT diberi seminggu kumpul data 'hotspot' sampah haram - EXCO
PBT diberi seminggu kumpul data 'hotspot' sampah haram - EXCO

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan Negeri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengumpul data lengkap kawasan 'hotspot' pembuangan sampah haram dalam tempoh seminggu, susulan isu kebersihan awam yang dibangkitkan Sultan Selangor baru-baru ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata arahan itu diputuskan dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikannya hari ini bersama wakil PBT, KDEB Waste Management (KDEBWM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta unit berkaitan.

Menurut beliau, tindakan segera itu turut melibatkan pemantauan lebih kerap di lokasi dikenal pasti serta penyelarasan jadual kerja bagi memastikan aduan awam dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Sekarang fokus kita ialah mengumpul semua data 'hotspot' terlebih dahulu untuk diteliti supaya tindakan susulan boleh dibuat secara tersusun dan menyeluruh,” katanya kepada Media Selangor.

Suee Lim berkata, setiap 'hotspot' akan diperincikan mengikut daerah bagi mengenal pasti keperluan sebenar termasuk penambahan tenaga kerja, pasukan sokongan di lapangan serta keperluan kutipan sampah.

“Setakat ini kita sudah kenal pasti beberapa ‘hotspot’, tetapi semua data akan dikumpulkan. Data berkenaan akan diteliti semula pada awal Januari sebelum sebarang keputusan jangka pendek dan peruntukan bajet dibuat,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan pemantauan PBT kini diperketatkan dengan jadual lebih tersusun bagi memastikan isu berbangkit dapat ditangani segera.

Terdahulu, Bernama melaporkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerima banyak aduan mengenai keadaan kotor di Selangor, menegaskan bahawa baginda mahu perancangan segera dilakukan untuk membersihkan negeri itu.

Baginda bertitah peningkatan ketara aduan lengkap dengan nama serta maklumat untuk dihubungi, menunjukkan rakyat benar-benar mahukan tindakan susulan, sekali gus mencerminkan tahap keprihatinan awam yang semakin tinggi terhadap isu kebersihan bandar.

Titah baginda, Selangor sepatutnya menjadi model kemajuan, kecekapan dan pentadbiran yang baik, "tetapi rakyat beta mengadu bahawa berjalan di kebanyakan bandar dan pinggir bandar hari ini tidak seperti yang diuar-uarkan."