Selangor mulakan operasi terjah 'hotspot' kotor, fokus saliran belakang restoran

17 Dis 2025, 11:15 AM
Selangor mulakan operasi terjah 'hotspot' kotor, fokus saliran belakang restoran
Selangor mulakan operasi terjah 'hotspot' kotor, fokus saliran belakang restoran
Selangor mulakan operasi terjah 'hotspot' kotor, fokus saliran belakang restoran

SHAH ALAM, 17 DIS: Kerajaan Negeri memulakan operasi pembersihan besar-besaran dengan menerjah beberapa lokasi ‘hotspot’ kotor, termasuk saliran belakang restoran susulan teguran Sultan Selangor baru-baru ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata operasi itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada saliran dan longkang, malah turut merangkumi kawasan pembuangan sampah.

“Operasi terjah ‘hotspot’ yang dirasakan bermasalah sama ada sampah atau saliran tersumbat bermula di Seksyen 7 yang ada restoran beroperasi 24 jam.

"Kita dapati banyak sisa tersumbat kerana kesan minyak yang dibuang," katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut, hari ini.

Menurutnya, sisa minyak tersebut dibersihkan menggunakan jet air bertekanan tinggi sebelum disedut menggunakan jentera perangkap sampah bagi memastikan longkang kembali bersih dan lancar.

“Kita beri peringatan kepada semua pemilik restoran supaya pasang dan selenggara perangkap minyak serta jangan terus buang sisa ke saliran.

"PBT dan Jabatan Kesihatan akan laksana penguatkuasaan. Tindakan undang-undang akan diambil jika ingkar,” katanya.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim bercakap kepada media ketika hadir dalam program turun padang KEDBWM bersama EXCO di Jalan Kristal, Seksyen 7, Shah Alam pada 17 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Dalam usaha memperkukuh operasi, Suee Lim berkata pihaknya juga mengusulkan penambahan peralatan pembersihan untuk kegunaan KDEB Waste Management (KDEBWM) di semua PBT.

“Setakat ini kita hanya ada dua jentera perangkap sampah dan tujuh jet air bertekanan tinggi. Kita bercadang menambah peralatan ini supaya sisa tersumbat dapat disedut sekali gus untuk elak banjir.

"Kita akan cuba usahakan dan cari kaedah termasuk peruntukan tambahan daripada Kerajaan Negeri kerana sasaran setiap PBT ada satu peralatan ini,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri masih menunggu senarai lengkap kawasan ‘hotspot’ pembuangan sampah haram daripada semua PBT.

“Antara kawasan yang sering diterima aduan adalah Klang, Kemuning dan Sentosa. Ini antara kawasan isu kebersihan awam yang sering diterima biarpun kerja pembersihan telah dilaksanakan,” ujarnya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerima banyak aduan mengenai keadaan kotor di Selangor dan mahu tindakan segera dilaksanakan untuk membersihkan negeri.

Baginda bertitah peningkatan aduan lengkap dengan maklumat pengadu menunjukkan rakyat benar-benar mahukan langkah susulan, sekali gus mencerminkan keprihatinan awam yang semakin tinggi terhadap isu kebersihan bandar.

Titah baginda, Selangor sepatutnya menjadi model kemajuan dan pentadbiran yang baik, “tetapi rakyat beta mengadu bahawa berjalan di kebanyakan bandar dan pinggir bandar hari ini tidak seperti yang diuar-uarkan.”