Harga ikan naik hingga 30 peratus, bukan secara meluas

17 Dis 2025, 9:24 AM
Harga ikan naik hingga 30 peratus, bukan secara meluas

SHAH ALAM, 17 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan berlaku kenaikan harga ikan sehingga 30 peratus di pasaran susulan permintaan tinggi pada musim tengkujuh.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pemantauan mendapati kenaikan itu tidak berlaku secara menyeluruh, sebaliknya tertumpu di kawasan tertentu.

"Hasil pemantauan kita, memang terdapat peningkatan harga ikan di pasaran, namun bukan berlaku secara meluas, sebaliknya membabitkan lokasi tertentu.

"Peningkatan harga ikan dikesan tidak melebihi 30 peratus dan kenaikan itu disebabkan permintaan tinggi pada musim tengkujuh," katanya seperti dilapor BH.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya bersedia menyiasat jika wujud manipulasi bekalan oleh pemborong atau peniaga.

"Jika ada mana-mana pihak termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mempunyai maklumat berlaku manipulasi bekalan oleh pemborong serta peniaga, kita sarankan mereka tampil membuat laporan untuk membolehkan siasatan lanjut.

"Setakat ini kita belum menerima sebarang aduan, sebaliknya ia hanya dilaporkan oleh pihak media," katanya pada sidang media selepas Walkabout Program Jualan Rahmah (PJR) Monsun di Tumpat, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kenaikan harga ikan bukan hanya dipengaruhi musim tengkujuh atau pengurangan hasil tangkapan, tetapi turut berpunca daripada manipulasi pasaran oleh sebahagian pemborong.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, dilaporkan berkata terdapat pemborong yang membeli ikan dalam kuantiti besar ketika musim ikan melimpah sebelum menyimpannya dalam bilik sejuk dan menjualnya kembali ketika stok kurang bagi mengambil kesempatan menaikkan harga.