Bekalan ikan negara masih mencukupi meskipun musim Monsun Timur Laut

28 Nov 2026, 7:00 AM
Bekalan ikan negara masih mencukupi meskipun musim Monsun Timur Laut
Bekalan ikan negara masih mencukupi meskipun musim Monsun Timur Laut

TAIPING, 28 NOV: Bekalan ikan negara kekal mencukupi meskipun aktiviti penangkapan di beberapa kawasan berdepan cabaran Monsun Timur Laut dan fenomena air pasang besar.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenai gangguan serius yang menjejaskan aktiviti penangkapan ikan dalam kalangan nelayan.

Beliau berkata keadaan cuaca buruk dan laut bergelora boleh menjejaskan aktiviti nelayan pesisir pantai, khususnya yang menggunakan kapal Zon A, namun tidak semestinya memberi kesan kepada bekalan ikan negara secara keseluruhan.

“Pengguna tidak perlu bimbang kerana bekalan ikan masih mencukupi. Memang ada kawasan yang terjejas akibat perubahan iklim, angin kencang dan air pasang besar tetapi nelayan masih boleh turun ke laut untuk menangkap ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Peningkatan Pendapatan Touch Point serta Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan Matang di Pejabat Penghulu Mukim Matang di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata nelayan yang menggunakan kapal lebih besar, khususnya Zon B, C dan C2, masih mampu menjalankan aktiviti penangkapan ikan ketika laut bergelora berbanding nelayan pesisir pantai.

Beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut memastikan bekalan ikan negara mencukupi dengan mengarahkan LKIM menyediakan stok bagi memenuhi keperluan ketika bencana atau gangguan pendaratan hasil laut.

Menurut Muhammad Faiz, pemberian subsidi bahan api kepada nelayan juga penting bagi memastikan mereka dapat terus turun ke laut dan menyumbang kepada pengeluaran ikan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata Kadar Sara Diri (SSR) perikanan negara kini mencapai 90 peratus manakala baki 10 peratus keperluan domestik dipenuhi melalui import.

Muhammad Faiz berkata usaha meningkatkan hasil tangkapan turut dilaksanakan menerusi bantuan peralatan seperti enjin, pukat dan tong ikan kepada nelayan layak, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) yang aktif menangkap ikan.

“Peralatan baharu ini diharap dapat meningkatkan hasil tangkapan, sekali gus menambah bekalan ikan dalam negara,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.