LKIM sedia 10,000 tan metrik stok ikan, persiapan hadapi musim tengkujuh

26 Sep 2026, 1:07 PM
LKIM sedia 10,000 tan metrik stok ikan, persiapan hadapi musim tengkujuh

SHAH ALAM, 26 SEPT: Sekurang-kurangnya 10,000 tan metrik stok ikan disediakan bagi memastikan bekalan negara mencukupi sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Oktober ini hingga Februari tahun depan.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Dr Abdul Salim Tajudin berkata persediaan itu bagi menghadapi kemungkinan pengurangan pendaratan hasil laut sepanjang musim berkenaan.

Katanya, daripada jumlah itu, kira-kira 300 tan metrik merupakan stok LKIM, manakala 9,700 tan metrik lagi disediakan menerusi kerjasama syarikat dalam industri berkenaan.

“Kita memang sudah bersedia. Jika berlaku kekurangan ikan, stok akan dikeluarkan bagi memastikan keperluan pengguna dapat dipenuhi.

“Setakat ini, isu bekalan ikan tidak timbul dan stok memang mencukupi,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Bercakap selepas merasmikan program Bazaar Himpunan Pemasar Ikan dan Hasil Akuakultur di Dataran Temerloh, Abdul Salim berkata LKIM membuat persediaan awal dengan menyimpan stok ketika pendaratan ikan meningkat untuk digunakan sepanjang musim tengkujuh.

Menurutnya, kadar sara diri (SSR) ikan negara juga melebihi 90 peratus, menunjukkan bekalan ketika ini berada pada tahap baik.

Pada masa sama, beliau mengingatkan nelayan supaya mengutamakan keselamatan dan tidak mengambil risiko turun ke laut ketika cuaca buruk.

“Rezeki penting tetapi keselamatan lebih utama. Jika turun ke laut, pastikan memakai jaket keselamatan dan mengambil langkah sewajarnya,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.