Sistem eCOSS jejak minyak masak bersubsidi hingga ke pengguna

6 Jul 2026, 3:54 AM
Sistem eCOSS jejak minyak masak bersubsidi hingga ke pengguna

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pelaksanaan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) melengkapkan pengesanan minyak masak bersubsidi dengan membolehkan keseluruhan rantaian bekalan dijejaki sehingga ke peringkat pengguna menerusi penggunaan kod Respons Pantas (QR).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata sebelum ini sistem eCOSS hanya menjejaki pengedaran minyak masak bersubsidi daripada kilang penapis kepada pembungkus semula (re-packer), pemborong dan peruncit.

Menurutnya, aplikasi itu kini menghubungkan peruncit secara terus dengan pengguna, sekali gus melengkapkan rantaian pengesanan bekalan.

“Melalui aplikasi eCOSS, jurang itu dapat dilengkapkan apabila peruncit dihubungkan terus dengan pengguna. Ini membolehkan keseluruhan rantaian bekalan dijejaki menggunakan sistem eCOSS,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kulim Roslan Hashim (PN) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Fuziah, ketiadaan hubungan peringkat akhir (last-mile connectivity) dalam sistem terdahulu menyukarkan kementerian mengesan sebarang ketirisan yang berlaku selepas produk sampai ke peringkat peruncit.

Mengulas aspek penguatkuasaan, beliau berkata pelaksanaan eCOSS adalah berasingan daripada Ops Tiris dan tidak membabitkan pegawai penguat kuasa secara langsung.

Sebaliknya, aplikasi itu hanya melibatkan peruncit serta sistem sokongan (back-end) kementerian, manakala pegawai penguat kuasa akan terus menjalankan Ops Tiris dan pemantauan seperti biasa.

“Data daripada Ops Tiris serta aduan yang diterima membantu kementerian menilai keberkesanan pelaksanaan eCOSS,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.