SHAH ALAM, 6 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti cadangan penggunaan MyKad bagi pembelian minyak masak paket bersubsidi menerusi libat urus bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta pihak peruncit.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata cadangan itu masih di peringkat penelitian berikutan kekangan penggunaan peranti pembaca MyKad yang ketika ini hanya menyokong transaksi penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
"Kita sebenarnya memerlukan satu peranti yang boleh membaca MyKad. Peranti yang digunakan bagi pelaksanaan SARA hanya untuk penerima SARA dan STR.
"Jadi ia tidak boleh digunakan oleh orang awam yang bukan penerima bantuan untuk membeli minyak masak paket bersubsidi," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin (PH) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kementerian turut mencadangkan penggunaan MyKad baharu yang dilengkapi kod Respons Pantas (QR) bagi mengatasi kekangan tersebut.
Menurutnya, ciri baharu itu memerlukan peranti yang mampu membaca maklumat pada cip MyKad bagi membolehkan pembelian minyak masak paket bersubsidi dilaksanakan.
"Libat urus berterusan sedang dijalankan bersama Jabatan Pendaftaran Negara serta pihak peruncit bagi melaksanakan cadangan ini, namun ia masih dalam proses," katanya.






