KUALA LUMPUR, 16 DIS: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) terus memperkukuh kualiti perkhidmatan serta kecekapan penyampaian maklumat kepada masyarakat menerusi penyertaan kakitangan dalam Bengkel Penyediaan Kandungan Media Sosial dan Penulisan Kreatif anjuran Media Selangor Sdn Bhd.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Multimedia MPHS Nabilah Ajmal Amir Kamaludin berkata pendedahan itu amat signifikan memandangkan penjawat awam berinteraksi secara langsung dengan masyarakat hampir setiap hari.

“Bengkel ini membantu kami memahami kaedah menyampaikan maklumat, khususnya berkaitan penguatkuasaan dan perkhidmatan majlis, dengan lebih jelas, menarik dan mudah difahami rakyat.
“Penggunaan kecerdasan buatan (AI) pula berperanan sebagai sokongan dalam tugasan harian, namun ia tidak mampu menggantikan elemen empati dan pertimbangan manusia dalam penyampaian maklumat,” katanya kepada Media Selangor, semalam.
Berlangsung di Hotel Seri Pacific di sini, bengkel sehari itu bertujuan memperkasa kemahiran komunikasi digital kakitangan pihak berkuasa tempatan agar penyampaian maklumat kepada penduduk lebih berkesan, tersusun dan berimpak.
Bagi AJK Multimedia MPHS Mohd Shahril Hasanudin pula berkata pengurusan media sosial kini menjadi kemahiran penting yang perlu dipelajari secara berstruktur serta dibimbing pihak berpengalaman.

“Ia bukan sesuatu yang boleh dilakukan secara sendiri tanpa pengetahuan dan panduan yang betul. Pengurusan media sosial yang berkesan membolehkan maklumat disampaikan secara ringkas, padat dan tepat kepada rakyat.
“Perkembangan pesat media sosial juga menuntut setiap generasi penjawat awam untuk terus mempelajari perkara baharu agar tidak ketinggalan serta memastikan kemahiran sentiasa relevan dengan perubahan teknologi semasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat MPHS, Junainah Abdullah berkata bengkel berkenaan dianjurkan bagi memperkukuh keupayaan kakitangan dalam pengurusan media dan penulisan kreatif, khususnya melibatkan penggunaan teknologi baharu seperti AI.
Beliau yakin kepakaran serta pengalaman luas Media Selangor dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu MPHS meningkatkan mutu perkhidmatan dan penyampaian maklumat, sekali gus memberi manfaat terbaik kepada penduduk Hulu Selangor.




