Banting giat laksana projek infrastruktur selesai isu banjir 30 tahun

15 Dis 2025, 4:00 AM
Banting giat laksana projek infrastruktur selesai isu banjir 30 tahun
Banting giat laksana projek infrastruktur selesai isu banjir 30 tahun

SHAH ALAM, 15 DIS: Beberapa projek infrastruktur sedang giat dilaksanakan di DUN Banting termasuk pembinaan Dewan Orang Ramai Kampung Fatimah serta pemasangan culvert dan pelebaran Sungai Sedu bagi menangani masalah banjir yang berlarutan lebih 30 tahun.

ADN Banting, V. Papparaidu, berkata lawatan turun padang bersama pasukan Pusat Khidmat Masyarakat semalam meninjau perkembangan terkini projek-projek berkenaan demi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan memberi manfaat segera kepada penduduk.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Saudara Samydurai. Inisiatif yang digerakkan beliau sebagai Ketua Komuniti India (KKI) DUN Banting wajar dijadikan contoh kepada seluruh KKI Selangor dalam memperkukuh peranan komuniti dan memastikan keperluan rakyat diberi perhatian sewajarnya,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata peruntukan diterima melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan disalurkan di bawah pengurusan Pejabat Daerah menjadi pemangkin penting bagi melaksanakan penambahbaikan infrastruktur yang diperlukan, sekali gus meningkatkan kemudahan dan keselamatan penduduk.

Papparaidu berharap usaha berterusan itu mampu membawa manfaat besar kepada masyarakat setempat serta meningkatkan kesejahteraan mereka.

“Tahniah kepada Ketua Komuniti India DUN Banting,” katanya.