Hulu Selangor lokasi akhir Program Rewang Komuniti Strata tahun ini

14 Dis 2025, 2:30 AM
Hulu Selangor lokasi akhir Program Rewang Komuniti Strata tahun ini

HULU SELANGOR, 14 DIS: Hulu Selangor menjadi lokasi terakhir penganjuran Program Rewang Komuniti Strata bagi tahun ini, kata EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah.

Beliau berkata, sebelum ini program yang membabitkan komuniti perumahan kos rendah dan sederhana rendah itu telah dilaksanakan di Dengkil, Lembah Jaya dan Batang Kali.

“Insya-Allah pada tahun 2026, Dato’ Menteri Besar telah menambah peruntukan dan program ini akan dilaksanakan dengan lebih tersusun. Kita juga akan mengenal pasti kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi serta lokasi yang belum pernah dikunjungi.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas program Rewang Komuniti Stara Hulu Selangor di Tapak Penjaja@ Taman Bunga Raya, Rawang pada 13 Disember 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Bagi tahun depan, antara kawasan yang dikenal pasti ialah Klang, memandangkan daerah itu mempunyai jumlah penduduk yang ramai,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Program Rewang Komuniti Strata di Tapak Penjaja Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, di sini, semalam.

Program Rewang Komuniti Strata yang mula dilaksanakan pada 2024 merupakan inisiatif yang diilhamkan oleh EXCO perumahan dan kebudayaan sebagai usaha merapatkan hubungan komuniti pangsapuri, memupuk nilai murni serta mengangkat potensi masyarakat bandar dalam pelbagai aspek.

Orang ramai menghadiri program Rewang Komuniti Stara Hulu Selangor di Tapak Penjaja@ Taman Bunga Raya, Rawang pada 13 Disember 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pada 14 November lalu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, mengumumkan Program Rewang Komuniti Strata bertemakan “Rewang Komuniti Ke Arah Kelestarian Komuniti Pangsapuri” akan diteruskan pada 2026 dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

Beliau berkata, program berkenaan dijadualkan berlangsung tiga kali sepanjang tahun di gugusan pangsapuri yang berbeza, dengan penglibatan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi meneliti secara dekat isu serta keperluan penduduk strata.