Ribut petir, hujan lebat diramal landa seluruh Selangor hingga 6 petang

14 Dis 2025, 8:38 AM
Ribut petir, hujan lebat diramal landa seluruh Selangor hingga 6 petang

SHAH ALAM, 14 DIS: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda Selangor hingga jam 6 petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan amaran itu turut melibatkan seluruh Perlis, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.

Beberapa kawasan di Kedah, Perak, Pahang dan Johor dijangka alami keadaan cuaca sama.

MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku dalam tempoh lebih satu jam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.

Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada, mengelakkan aktiviti luar ketika cuaca buruk serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.