MPKj serah tapak perkuburan Islam Jalan Broga Semenyih kepada Jais

14 Dis 2025, 6:02 AM
MPKj serah tapak perkuburan Islam Jalan Broga Semenyih kepada Jais

SHAH ALAM, 14 DIS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyerahkan tapak Perkuburan Islam Jalan Broga, Semenyih berkeluasan lebih lima ekar kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu majlis di Menara MPKj, 12 Disember lalu.

Majlis penyerahan disempurnakan menerusi sesi menandatangani Sijil Perakuan Serahan Siap Kerja oleh wakil MPKj dan JAIS, serta disaksikan wakil Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDTHL).

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pembantu Khas Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Tazley, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPKj, Ir Fadillah Razalli, Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MPKj, TPr Reduan Idris, selain pegawai PDTHL, JAIS, Badan Khairat Kematian Masjid Raja Musa Semenyih, pihak kontraktor serta kakitangan MPKj.

MPKj memaklumkan, tapak perkuburan tersebut dibangunkan bermula 24 Oktober 2023 dan siap sepenuhnya pada 4 Disember lalu.

"Tapak keluasan 5.477 ekar bersamaan 22,163.46 meter persegi ini dibangunkan dengan menggunakan peruntukan Akaun Amanah Perkuburan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.