EXCO perumahan gesa penghuni manfaat Program Rewang Komuniti Strata

14 Dis 2025, 1:00 AM
EXCO perumahan gesa penghuni manfaat Program Rewang Komuniti Strata

HULU SELANGOR, 14 DIS: EXCO Perumahan menggesa penghuni pangsapuri agar memanfaatkan Program Rewang Komuniti Strata sebagai platform untuk menyalurkan aduan serta menyuarakan sebarang isu berkaitan kediaman masing-masing.

Datuk Borhan Aman Shah berkata, penduduk boleh mengemukakan pandangan berhubung keperluan pangsapuri, sama ada melibatkan insentif, inisiatif mahupun program yang ingin dilaksanakan.

Beliau menegaskan, cadangan dan idea yang berkesan perlu lahir daripada suara majoriti penduduk, dan bukan ditentukan oleh kepentingan segelintir pihak sahaja.

Orang ramai mengambil hidangan sempena program Rewang Komuniti Stara Hulu Selangor di Tapak Penjaja@ Taman Bunga Raya, Rawang pada 13 Disember 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Oleh itu, penduduk disaran bekerjasama dengan pihak pengurusan serta memanfaatkan Program Rewang Komuniti Strata anjuran Kerajaan Negeri bagi mengukuhkan komuniti.

“Kerajaan sendiri sentiasa meletakkan perumahan sebagai keutamaan dan menjadikannya antara agenda utama,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Program Rewang Komuniti Strata, di sini, malam tadi.

Program Rewang Komuniti Strata yang mula dilaksanakan pada 2024 merupakan inisiatif yang diilhamkan oleh EXCO perumahan dan kebudayaan sebagai usaha merapatkan hubungan komuniti pangsapuri, memupuk nilai murni serta mengangkat potensi masyarakat bandar dalam pelbagai aspek.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah menyampaikan hadiah cabutan bertuah sempena program Rewang Komuniti Stara Hulu Selangor di Tapak Penjaja@ Taman Bunga Raya, Rawang pada 13 Disember 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Inisiatif itu turut bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosial, keharmonian kejiranan dan kemakmuran dalam kalangan penghuni perumahan bertingkat, iaitu segmen perumahan yang semakin berkembang pesat di Selangor.

Selain itu, program berkenaan menjadi platform penting untuk mengenal pasti keperluan penyelenggaraan, keselamatan, kebersihan serta kebajikan komuniti strata yang sering berdepan cabaran pengurusan dan kos penyelenggaraan yang tinggi.