SHAH ALAM, 13 DIS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melaksanakan operasi penguatkuasaan terhadap premis yang menjalankan perniagaan secara haram di kawasan Kosmoplek Bandar Baru Salak Tinggi.
MPSepang dalam kenyataan di Facebook berkata, operasi itu mendapati tiga premis beroperasi tanpa lesen perniagaan sah.
Penguat kuasa mengeluarkan tiga notis kesalahan dan melaksanakan tindakan sitaan inventori terhadap premis terbabit.
Tindakan tersebut dijalankan mengikut Peruntukan 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPSepang) 2007, iaitu bagi premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.
MPSepang turut menegaskan bahawa peniaga perlu memastikan pemilikan lesen sah sebelum menjalankan aktiviti perniagaan dan mematuhi semua peraturan PBT bagi mengelak tindakan sitaan atau kompaun.
Bagi memudahkan proses permohonan dan kelulusan lesen perniagaan, MPSepang telah menaik taraf sepenuhnya sistem permohonan dalam talian, termasuk lesen penjaja.
Pihak berkuasa turut menyediakan senarai lokasi dibenarkan untuk aktiviti penjajaan, bagi mengelakkan permohonan di kawasan yang tidak sesuai atau tidak dibenarkan.



