MPAJ perkasa kebun komuniti, erat jalinan penduduk setempat

13 Dis 2025, 7:58 AM
MPAJ perkasa kebun komuniti, erat jalinan penduduk setempat
MPAJ perkasa kebun komuniti, erat jalinan penduduk setempat
MPAJ perkasa kebun komuniti, erat jalinan penduduk setempat
MPAJ perkasa kebun komuniti, erat jalinan penduduk setempat

SHAH ALAM, 13 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terus memperkasa penglibatan komuniti melalui program kebun komuniti bagi menyemarakkan semangat kelestarian bandar dan memupuk perpaduan penduduk.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, pendekatan itu menjadi platform penting bukan sahaja dalam menyediakan persekitaran hijau dan produktif, malah turut membina jaringan komuniti aktif, inklusif dan harmoni.

“MPAJ akan terus memperkasa program kebun komuniti sebagai platform mengeratkan hubungan penduduk, meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar serta menyokong kesejahteraan bandar.

“Inisiatif kebun komuniti ini bukan sahaja mewujudkan persekitaran yang hijau dan produktif, malah membina jaringan komuniti yang aktif, inklusif dan harmoni, selari dengan aspirasi Ampang Jaya sebagai bandar mampan dan sejahtera,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Hasrolnizam berkata demikian sempena Majlis Ramah Mesra Tuan Timbalan Yang Dipertua yang diadakan semalam sebagai usaha memperkukuh keterlibatan masyarakat setempat dalam pengurusan ruang hijau.

Majlis tersebut turut melibatkan pengusaha Kebun Komuniti Pandan Jaya Fasa 2 yang berperanan besar dalam menjayakan usaha pembangunan kebun komuniti di kawasan berkenaan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Hasrolnizam Shaari berucap ketika Majlis Ramah Mesra Tuan Timbalan Yang Dipertua pada 12 Disember 2025. Foto Facebook Majlis Perbandaran Ampang Jaya - Rasmi

Program tersebut turut diisi dengan sesi taklimat berkaitan pengurusan kebun komuniti yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Operasi Unit Pengurusan Bangunan, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Dr Nor Hanizan Sahib.

Sesi itu turut disertai Pegawai Pertanian Daerah Hulu Langat, Shahida Salim yang berkongsi input penting mengenai amalan pertanian bandar dan pengurusan tanah secara lestari.

Menurut MPAJ, sokongan agensi kerajaan serta kerjasama erat penduduk adalah kunci menjayakan pelaksanaan kebun komuniti secara berterusan.

“MPAJ merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya lagi.

Program sebegitu dilihat mampu menyemai kesedaran awam mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar, selain memberi manfaat ekonomi dan sosial kepada komuniti setempat.

Inisiatif itu turut menyokong aspirasi pembangunan mampan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selari dengan dasar hijau negeri dan negara.