Polis siasat video treler bawa helikopter halang laluan di Subang Jaya

13 Dis 2025, 4:42 AM
Polis siasat video treler bawa helikopter halang laluan di Subang Jaya

SUBANG JAYA, 13 DIS: Polis membuka siasatan berhubung video tular memaparkan sebuah treler membawa muatan helikopter yang didakwa menghalang laluan kenderaan awam sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.06 malam tadi selepas satu rakaman video dimuat naik di aplikasi TikTok menerusi akaun ‘Black Lifestyle’.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang, 4 Disember lalu apabila sebuah lori treler panjang yang membawa muatan sebuah helikopter gagal melalui susur jalan dari Lebuhraya Shah Alam (Kesas) ke arah Persiaran Kewajipan kerana muatan terlalu panjang.

“Keadaan ini telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu pergerakan pengguna jalan raya lain di kawasan berkenaan.

“Dalam kejadian sama, sebuah ambulans turut dilihat terganggu perjalanannya akibat kesesakan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Wan Azlan berkata setakat ini polis masih belum dapat mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan terbabit dan siasatan dijalankan mengikut Kaedah Rule 9(2) LN 166/59.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

“Hubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-28914495. Identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.

Video kejadian itu sebelum ini tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai yang mempersoalkan aspek keselamatan serta kelancaran trafik, khususnya apabila melibatkan kenderaan kecemasan.