MBPJ perhalusi laporan pengagihan zon ahli majlis sebelum kemuka kepada EXCO

12 Dis 2025, 2:00 PM
MBPJ perhalusi laporan pengagihan zon ahli majlis sebelum kemuka kepada EXCO

PETALING JAYA, 12 DIS: Laporan berkaitan pengagihan zon Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini sedang diperhalusi sebelum dikemukakan kepada EXCO Kerajaan Tempatan bagi tindakan susulan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata laporan berkenaan akan dihantar selepas penelitian menyeluruh dibuat terhadap cadangan penstrukturan semula tersebut.

“Memang ada cadangan pengezonan kerana setiap kawasan diakui berlaku perbezaan keluasan iaitu kecil dan besar tetapi kita tidak mengadakan perbincangan secara terperinci lagi.

“Namun, semua ahli majlis bersetuju sekiranya kita buat pengezonan. Oleh itu, perbincangan akan diadakan selepas lantikan baharu kerana (kepimpinan) sedia ada berakhir tidak lama lagi sebelum menyerahkan laporan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran program publisiti awal cadangan draf Rancangan Tempatan Petaling Jaya (Penggantian) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Majlis Zon 24, Farhan Shah Ridzuan menyarankan agar MBPJ menyemak semula pengagihan zon ahli majlis bagi memastikan beban kerja lebih seimbang serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk.

Menurut beliau, pengagihan zon sedia ada tidak mencerminkan beban tugas sebenar berikutan perbezaan ketara dari segi jumlah penduduk, keluasan kawasan dan guna tanah antara zon.

Katanya, ketidakseimbangan itu memberi kesan terhadap keberkesanan ahli majlis, khususnya dari segi kehadiran di lapangan, kadar respons terhadap aduan awam serta penyelenggaraan infrastruktur.

Susulan itu, Media Selangor melaporkan Dato’ Ng Suee Lim meminta Datuk Bandar Petaling Jaya mengemukakan laporan terperinci mengenai pengagihan zon ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi menilai sama ada penstrukturan semula pembahagian kawasan wajar dilaksanakan.

Beliau berkata laporan berkenaan perlu diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurut Suee Lim, semakan semula boleh dilakukan sekiranya terdapat keperluan, bagi memastikan ahli majlis dapat memberikan perkhidmatan lebih efisien kepada pembayar cukai tanpa dibebani tugas yang terlalu besar.