EXCO minta MBPJ kemuka laporan 'zoning' ahli majlis sebelum tindakan susulan

4 Dis 2025, 4:02 AM
EXCO minta MBPJ kemuka laporan 'zoning' ahli majlis sebelum tindakan susulan
EXCO minta MBPJ kemuka laporan 'zoning' ahli majlis sebelum tindakan susulan

SHAH ALAM, 4 DIS: Datuk Bandar Petaling Jaya diminta mengemukakan laporan terperinci mengenai pengagihan zon ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi menilai sama ada penstrukturan semula pembahagian kawasan wajar dilaksanakan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata laporan berkenaan perlu diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Dalam isu ini, Datuk Bandar dan pengarah-pengarah sentiasa memastikan pengagihan zon ahli majlis supaya mereka dapat melaksana tugas diberikan dengan baik dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, saya tidak terima aduan zon di PBT lain. Cuma jika ada masalah di MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya), saya minta Datuk Bandar kemukakan laporan sama ada setiap zon perlu dibuat penstrukturan semula atau tidak," katanya kepada Media Selangor.

Menurut Suee Lim, semakan semula boleh dilakukan sekiranya terdapat keperluan, bagi memastikan ahli majlis dapat memberikan perkhidmatan lebih efisien kepada pembayar cukai tanpa dibebani tugas yang terlalu besar.

Terdahulu, Ahli Majlis Zon 24, Farhan Shah Ridzuan menyarankan supaya MBPJ menyemak semula pengagihan zon ahli majlis bagi memastikan beban kerja lebih seimbang serta mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Beliau berkata, pengagihan sedia ada tidak mencerminkan beban tugas sebenar kerana wujud perbezaan ketara dari segi jumlah penduduk, saiz kawasan dan guna tanah antara zon.

Jelasnya, ketidakseimbangan itu memberi kesan kepada keberkesanan ahli majlis dalam menjalankan tugas, khususnya dari segi kehadiran ke lapangan, kadar respons terhadap aduan dan penyelenggaraan infrastruktur.