PETALING JAYA, 12 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melaksana program publisiti awal cadangan draf berhubung Rancangan Tempatan Petaling Jaya (Penggantian) selaras dengan keperluan pembangunan terkini.
Diadakan bermula 15 Disember sehingga 16 Februari tahun hadapan, pelaksanaannya akan menggabungkan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 1 (RTPJ1) dan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2).
Datuk Bandarnya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata draf rancangan ini diadakan setelah 20 tahun RTPJ 1 dilaksana di seluruh Petaling Jaya.
“Antara objektif utama adalah menyemak dan menyelaras hala tuju pembangunan sejajar dasar antarabangsa, persekutuan dan negeri serta mengoptimum guna tanah dan kenal pasti kawasan berpotensi untuk masa depan.
“Kita juga menerapkan pendekatan perancangan moden dan mampan merangkumi mobiliti, ruang hijau dan ekonomi selain memperkukuh identiti serta daya saing bandar supaya lebih progresif.
“Rancangan ini melibatkan pelbagai aspek termasuk jalan raya, pengangkutan, perparitan, karbon, isu setempat seperti banjir, naik taraf taman… semuanya diambil kira, melibatkan perancangan pembangunan kita terima,” katanya menerusi sidang akhbar hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan keseluruhan Rancangan Tempatan Petaling Jaya (Penggantian) dijangka siap sepenuhnya sehingga pewartaan pada 10 November tahun hadapan.
Katanya, pelan komprehensif yang lebih selaras dengan keperluan pembangunan bandar raya terkini itu kini berada di peringkat kedua setelah memulakan proses penyediaan Jun lalu.
“Sepanjang tempoh ini, kita akan kumpulkan semua aduan atau cadangan komuniti untuk sesi pendengaran, pemeriksaan dan siasatan tempatan sebelum melalui pewartaan.
“Oleh itu, kita mohon kerjasama ahli majlis untuk maklumkan kepada semua komuniti berhubung draf rancangan ini dan sekiranya perlu akan bawa ke program-program rasmi,” ujarnya.
Jelasnya, orang ramai boleh hadir ke pameran khas berhubung pelaksanaan draf cadangan ini di lobi Ibu Pejabat MBPJ dan mendapatkan borang maklum balas untuk pengumpulan cadangan.
“Kita berharap komuniti, pemilik tanah atau pemegang taruh ambil peluang beri pandangan menerusi program ini supaya libat urus lebih efektif sekaligus tambah baik pembangunan,” katanya.
Pada Ogos, MBPJ menganjurkan Bengkel Penyediaan Rancangan Tempatan Petaling Jaya (Penggantian). Bengkel itu menyediakan platform libat urus secara menyeluruh selaras aspirasi menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya pintar, mampan dan berdaya tahan menjelang 2035.



