Selangor perkenal dasar OKU tahun depan, perkukuh akses dan peluang saksama

12 Dis 2025, 5:21 AM
Selangor perkenal dasar OKU tahun depan, perkukuh akses dan peluang saksama
Selangor perkenal dasar OKU tahun depan, perkukuh akses dan peluang saksama
Selangor perkenal dasar OKU tahun depan, perkukuh akses dan peluang saksama

SHAH ALAM, 12 DIS: Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor yang menekankan prasarana mesra dan inklusif dijangka dilancar Januari depan, sejajar ikhtiar pentadbiran negeri memperkukuh akses serta peluang saksama untuk golongan tersebut.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata kertas dasar komprehensif itu kini berada pada peringkat akhir perincian dan dijangka dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) minggu depan untuk kelulusan sebelum pelancarannya.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfal Saari bercakap kepada media selepas Belanjawan Negeri Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 14 November 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Dasar ini sudah hampir selesai, cuma ada beberapa perkara yang sedang diselaraskan dengan pihak PLANMalaysia berkaitan pertindihan bidang kuasa,” katanya kepada Media Selangor.

Anfaal menjelaskan, antara tumpuan utama dasar itu ialah akses atau kebolehcapaian serta reka bentuk sejagat yang menjadi asas kepada pergerakan OKU.

Selain itu, beliau memberitahu dasar berkenaan turut memberi fokus kepada pemerkasaan golongan OKU melalui latihan dan peluang pekerjaan.

“Kita mahu OKU yang mempunyai kemahiran tertentu dapat diserap dalam syarikat yang bersedia. Kerjasama dengan Perkeso dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memastikan peluang ini dapat direalisasikan,” katanya.

Dasar OKU negeri juga diperkasa melalui Program Inklusif Inovasi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS-SIP 2026), yang membuka ruang kepada universiti, badan bukan kerajaan (NGO), konsultan, badan penyelidikan dan perusahaan sosial mengemukakan cadangan inovatif bagi mengukuhkan ekosistem OKU di Selangor.

Semalam, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan sejumlah 805,509 OKU berdaftar direkodkan di Malaysia pada 2024, mewakili 2.4 peratus daripada jumlah penduduk.

Beliau menegaskan, data tersebut menekankan kepentingan dasar dan polisi inklusif untuk memastikan hak dan peluang yang sama bagi semua rakyat, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan fizikal.