SHAH ALAM, 25 JAN: Draf akhir Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor kini siap spenuhnya dan menunggu pembentangan kepada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), kata pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS).
Danial Al-Rashid Haron memberitahu semua proses di peringkat jawatankuasa telah selesai, termasuk penambahbaikan dan penyusunan semula teras pelaksanaan untuk memudahkan pengurusan dan pelaksanaan dasar.
“Draf akhir sudah siap, kita ada buat penambahbaikan daripada apa yang kita buat sebelum ini. Daripada sembilan teras kita rangkumkan menjadi lima teras strategik. Banyak perkara kita baiki berdasarkan rujukan dengan beberapa dasar lain,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Danial, Dasar OKU Selangor mengandungi lima teras strategik yang dirangka untuk tempoh lima tahun, dengan dua fasa pelaksanaan: dua teras untuk jangka pendek dan tiga teras untuk jangka panjang.
Teras strategik berkenaan ialah:
Kesejahteraan Hidup dan Kesaksama
Pendidikan dan Pembangunan Sepanjang Hayat
Produktiviti Pembangunan Ekonomi
Aksesibiliti dan Rekabentuk Sejagat
Tadbir Urus dan Advokasi OKU
“Daripada sembila, kita rangkumkan menjadi lima mengambil kira dasar ini akan berjalan dalam lima tahun. Kita rangkumkan dan tidak buang mana-mana bahagian supaya mudah untuk diuruskan,” katanya.
Sebelum ini, EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari, berkata Dasar OKU Selangor yang menekankan pembangunan prasarana mesra dan inklusif dijangka dilancarkan pada Januari 2026.
Katanya, pendekatan ini selari dengan usaha pentadbiran negeri memperkukuh akses dan peluang saksama kepada golongan OKU, bukan sekadar dari aspek kebajikan, malah menjadi panduan kepada agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam merangka pembangunan inklusif.


