SELAYANG, 20 DIS: Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor yang menekankan pembangunan prasarana mesra dan inklusif melalui lima teras utama diyakini mampu memperkukuh akses serta menjamin peluang saksama kepada golongan berkenaan.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata dasar komprehensif bukan sekadar memfokuskan aspek kebajikan, sebaliknya menjadi panduan kepada agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam merangka pembangunan inklusif.
“Dasar OKU ini akan memperkukuh lagi bahawa keutamaan diberikan kepada OKU, tanda prihatin PBT dalam sebarang perancangan pembangunan. Dalam salah satu teras tentang kebolehcapaian ia merangkumi garis panduan pelan di PBT.
“Apabila ia dijadikan keperluan, pelaksanaannya akan menjadi satu kewajipan bermula dari peringkat perancangan. Setiap projek pemajuan yang dikemukakan oleh mana-mana syarikat atau pihak berkaitan perlu mengambil kira syarat yang termaktub dalam garis panduan tersebut.
“Sebenarnya garis panduan reka bentuk sejagat telah lama wujud, namun menerusi dasar OKU ini, penambahbaikan akan dibuat bagi memenuhi keperluan semasa. Sebagai contoh, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mempunyai panduan seumpama itu sejak 2017,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari OKU Negeri Selangor 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Selayang, hari ini.
Sebelum ini, Anfaal memaklumkan Dasar OKU Selangor yang menekankan prasarana mesra dan inklusif dijangka dilancarkan pada Januari 2026, selari dengan usaha pentadbiran negeri memperkukuh akses dan peluang saksama kepada golongan OKU.
Menurutnya, kertas dasar berkenaan kini berada di peringkat akhir perincian dan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) untuk kelulusan sebelum dilancarkan.
Katanya, antara fokus utama dasar itu ialah aspek akses atau kebolehcapaian serta penerapan reka bentuk sejagat sebagai asas pergerakan OKU, selain pemerkasaan golongan berkenaan menerusi latihan dan peluang pekerjaan.
Dasar OKU negeri juga diperkasa melalui Program Inklusif Inovasi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS-SIP 2026), yang membuka ruang kepada universiti, badan bukan kerajaan (NGO), konsultan, badan penyelidikan dan perusahaan sosial mengemukakan cadangan inovatif bagi mengukuhkan ekosistem OKU di Selangor.




