SHAH ALAM, 11 DIS: Sejumlah 805,509 orang kurang upaya (OKU) berdaftar direkodkan di Malaysia pada 2024, mewakili 2.4 peratus daripada jumlah penduduk negara.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata data itu menekankan kepentingan dasar dan polisi inklusif bagi memastikan hak dan peluang sama untuk semua rakyat.
Dari aspek kebajikan, beliau berkata seramai 262,618 OKU menerima manfaat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM1.1 bilion, dengan kategori terbesar melibatkan 120,844 OKU tidak berupaya kerja.
“Ini diikuti elaun pekerja OKU yang menyokong 106,055 orang dan bantuan penjagaan OKU terlantar atau penyakit kronik yang memberi manfaat kepada 34,476 orang," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya pendapatan isi rumah yang mempunyai OKU turut meningkat, dengan pendapatan bulanan kasar bertambah daripada RM4,390 pada 2022 kepada RM5,104 pada 2024.
“Purata pendapatan kasar isi rumah naik daripada RM5,679 kepada RM6,540 bagi tempoh sama.
"Pada masa yang sama, perbelanjaan penggunaan bulanan isi rumah purata meningkat daripada RM3,974 pada 2022 kepada RM4,545 pada 2024," katanya.
Mohd Uzir berkata berdasarkan statistik kategori, ketidakupayaan pembelajaran mencatatkan bilangan tertinggi dengan 299,128 orang (37.1 peratus), diikuti fizikal sebanyak 286,634 orang (35.6 peratus).
Ketidakupayaan penglihatan pula berjumlah 68,665 orang (8.5 peratus) manakala pertuturan merekodkan 4,136 orang (0.5 peratus).
Dari segi pendidikan, bilangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) meningkat semua peringkat pada 2024 berbanding 2023, dengan pertumbuhan 5.6 peratus peringkat prasekolah, rendah (11 peratus) dan menengah (4.6 peratus).
Selain itu, penyertaan OKU dalam bidang sukan turut menunjukkan peningkatan positif dengan 97 atlet OKU direkodkan pada 2024, meningkat 36.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, terdiri daripada 76 lelaki dan 21 wanita.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata jumlah penjawat awam OKU meningkat 7.9 peratus kepada 4,209 orang pada 2024 berbanding 3,901 orang pada 2023.


