Lampu isyarat simpang Persiaran Rimba Permai siap tempoh dua bulan

12 Dis 2025, 6:29 AM
Lampu isyarat simpang Persiaran Rimba Permai siap tempoh dua bulan

SHAH ALAM, 12 DIS: Persimpangan Persiaran Rimba Permai di Cyberjaya bakal dilengkapi lampu isyarat baharu dalam tempoh dua bulan bagi meningkatkan keselamatan serta mengurangkan risiko kemalangan di lokasi tersebut.

Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memaklumkan kontraktor telah dilantik pada 26 November lalu susulan aduan penduduk mengenai risiko kemalangan ekoran ketiadaan kawalan trafik di persimpangan itu.

“Pemasangan lampu isyarat ini dijangka membantu mengawal aliran kenderaan dan mengurangkan kadar kemalangan,” maklum pihak berkuasa tempatan itu menerusi kenyataan.

Selain lampu isyarat, MPSepang turut melaksanakan beberapa langkah keselamatan tambahan termasuk membina bonggol jalan, menempatkan petugas trafik serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau dan merakam kesalahan lalu lintas.

Penduduk sebelum ini melabelkan lokasi berkenaan sebagai ‘simpang maut’ susulan pertambahan jumlah kenderaan seiring pembangunan perumahan baharu.

Persiaran Rimba Permai turut menjadi laluan utama penduduk Masreca 19, Sejati Lakeside dan Setia Safiro, manakala kawasan sekitarnya kini giat dibangunkan dengan pembinaan sekolah serta kawasan komersial baharu yang turut menyumbang kepada peningkatan trafik harian.