SHAH ALAM, 11 DIS: Orang awam khususnya rakyat Selangor diingatkan supaya berwaspada terhadap iklan dan pautan tidak sah yang mendakwa menawarkan permohonan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari menegaskan hanya dua saluran rasmi disediakan bagi membuat permohonan inisiatif tersebut, iaitu aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan laman sesawang bingkasselangor.com.
"Pautan selain dua saluran ini adalah tidak sah, tiada pautan lain disediakan, tiada ejen dilantik dan tiada laman web pihak ketiga digunakan. Lindungi maklumat peribadi anda dan jangan berkongsi dengan pihak yang meragukan.
"Jika anda menemui iklan atau pautan mencurigakan yang menggunakan nama BINGKAS atau SELangkah, sila laporkan segera kepada pihak berkuasa atau melalui saluran rasmi SELangkah. Utamakan keselamatan dan lindungi data anda," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
BINGKAS merupakan sebahagian daripada 46 insentif di bawah Iltizam Selangor Penyayang yang diperkenalkan pada 2022, menggantikan skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).
Bermula tahun lalu, syarat permohonan BINGKAS turut dilonggarkan kepada isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.


