BINGKAS 3.0: Penerima boleh guna e-dompet, MyKad

14 Nov 2026, 3:00 AM
BINGKAS 3.0: Penerima boleh guna e-dompet, MyKad

SHAH ALAM, 14 NOV: Penggunaan e-dompet bagi program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) akan diteruskan dan digunakan serentak dengan kaedah pembayaran menerusi MyKad di bawah pelaksanaan BINGKAS 3.0.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata penggunaan MyKad diperkenalkan sebagai kaedah alternatif bagi memastikan penerima masih boleh menebus bantuan sekiranya berlaku gangguan internet atau masalah teknikal pada sistem e-dompet.

“Kaedah pembayaran menerusi MyKad itu menggunakan pendekatan sama seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang membolehkan penerima membuat pembelian di premis perniagaan terpilih yang menyediakan perkhidmatan penebusan bantuan berkenaan.

“Kedua-dua kaedah ini akan digunakan secara serentak bagi memudahkan penerima, terutama sekiranya berlaku gangguan internet, masalah sistem atau kesilapan teknikal pada e-dompet,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2027 di Wisma Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata penyelarasan kedua-dua sistem itu turut membolehkan transaksi direkodkan secara langsung, sekali gus memudahkan penerima menyemak baki bantuan serta memantau perbelanjaan.

Sementara itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100 juta bagi pelaksanaan BINGKAS 2027 yang menawarkan dua kategori bantuan.

Kategori A menyediakan bantuan RM300 sebulan selama 12 bulan kepada keluarga yang mempunyai sekurang-kurangnya dua anak berusia bawah 18 tahun, manakala Kategori B menawarkan RM150 sebulan kepada penjaga warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit terlantar.

Anfaal berkata, syarat minimum dua anak bawah 18 tahun bagi Kategori A mula diperkenalkan menerusi BINGKAS 2.0 pada Julai 2024.

Bagaimanapun, keluarga yang tidak memenuhi syarat itu boleh mendapatkan bantuan alternatif seperti Baucar Kita Selangor Gig bernilai RM100 sebulan selama 12 bulan.

Permohonan Kategori A dibuka mulai 10 November hingga 9 Disember ini, manakala pendaftaran Kategori B dijadualkan bermula Januari depan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.