SHAH ALAM, 11 DIS: Malaysia akan menyalurkan bantuan awal RM500 seorang kepada pelajar Indonesia di negara ini yang terkesan susulan bencana yang melanda Aceh dan Sumatera Utara.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Malaysia menzahirkan rasa simpati dan dukacita kepada Kerajaan Indonesia serta seluruh rakyatnya atas bencana tersebut, selain menyatakan solidariti dengan mereka yang sedang melalui detik sukar.
"Sebagai tanda ihsan dan persahabatan antara dua negara jiran yang berkongsi hubungan kekeluargaan, Malaysia akan menyalurkan RM500 seorang sebagai bantuan permulaan," menurut kenyataan itu.
Justeru, pelajar Indonesia terlibat diminta untuk mendaftar melalui institusi pengajian masing-masing supaya bantuan dapat diselaras dan disalurkan mengikut keperluan mereka.
Setakat petang ini, Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) melaporkan angka korban di Aceh meningkat kepada 403 mangsa, manakala 30 lagi dilaporkan hilang. Di Sumatera Utara, seramai 343 orang terkorban dan 98 masih belum ditemui.
Hujan berterusan sejak November lalu telah menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh, mengorbankan ratusan nyawa, merosakkan harta benda serta memutuskan bekalan elektrik di beberapa kawasan.



