KUALA LUMPUR, 17 NOV: Kerajaan bersetuju memberikan elaun kepada sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertugas semasa pengurusan bencana bermula tahun depan, tertakluk kepada syarat dan kriteria ditetapkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata keputusan itu merupakan pengiktirafan terhadap pengorbanan masa dan tenaga sukarelawan yang adakalanya terpaksa meninggalkan urusan peribadi dan keluarga bagi membantu mangsa banjir.
“Pemberian elaun ini juga diharap dapat meningkatkan motivasi, kebajikan dan kesejahteraan sukarelawan di samping menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk tampil menyertai gerakan kesukarelawan.
“Kita mahu pastikan bahawa mereka yang bantu menjaga kebajikan mangsa bencana turut mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya daripada kerajaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai usaha kementerian menjaga kebajikan sukarelawan dan petugas barisan hadapan yang turut terjejas akibat bencana ketika menjalankan tugas.
Menjawab soalan asal Siti Zailah mengenai tahap persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) agar masalah seperti petugas kepenatan (burnout) tidak berulang, Nancy berkata JKM melaksanakan sistem mobilisasi dan penggiliran petugas secara berperingkat dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
“Apabila sesuatu kawasan dilanda bencana serta banjir, petugas JKM di daerah terlibat akan bertindak sebagai pasukan tindak balas awal khususnya untuk mengaktifkan dan mengendalikan pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan memerlukan.
“Dalam tempoh 24 hingga 48 jam berikutnya, petugas JKM dari daerah berdekatan akan digerakkan untuk membantu dan mengambil alih sebahagian tugas petugas sedia ada,” katanya sambil menambah langkah itu membolehkan mereka yang bertugas sejak awal bencana mendapat rehat mencukupi sebelum kembali menjalankan tugas.
Beliau berkata sekiranya beberapa daerah berdepan bencana secara serentak sehingga mobilisasi antara daerah tidak dapat dilaksanakan, JKM akan menggerakkan kakitangan dan negeri berdekatan untuk membantu mengambil alih tugas buat sementara waktu.
Sementara itu, Nancy berkata sejumlah RM77.8 juta merangkumi dana Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diperuntukkan bagi pengurusan bencana tahun ini sebagai persiapan menghadapi MTL 2026/2027.
Beliau berkata peruntukan itu antaranya melibatkan perolehan barang keperluan mangsa dan kerja menaik taraf kemudahan penyimpanan barangan di seluruh negara.
Selain itu, katanya sebanyak 8,180 PPS yang mampu menampung kapasiti hingga 1.86 juta mangsa juga telah bersedia untuk diaktifkan.
Nancy berkata JKM turut melantik 211 pembekal berskala kecil dan 627 pembekal berskala besar serta menyediakan 824 kemudahan penyimpanan termasuk depot simpanan, stor negeri dan daerah, mini depot kontena serta pangkalan hadapan.
Dari segi sumber manusia, beliau berkata lebih 4,800 pegawai dan petugas JKM bersedia digerakkan dengan sokongan 175 pegawai psikologi, hampir 800 ahli Pasukan Sokongan Psikologi (PST), 474 Sahabat PST serta lebih 2,200 sukarelawan.
Menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai mangsa banjir yang memilih untuk berlindung di hotel atau rumah saudara-mara, Nancy berkata golongan itu layak memohon Bantuan Wang Ihsan dengan syarat mereka berdaftar secara rasmi.







