SHAH ALAM, 10 DIS: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menganjurkan program gotong-royong di Pangsapuri Seri Anggerik 2, Bukit Sentosa bagi memerangi Denggi dan meningkatkan keselamatan penduduk.
Program anjuran Ahli Majlis Zon 19, Fuad Ahmad Naravi itu turut disertai Kelab Rukun Tetangga, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA), polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Sebelum gotong-royong bermula, penduduk diberikan taklimat ringkas tentang bahaya dadah oleh AADK serta pencegahan jenayah dan penipuan dalam talian oleh polis.
Fokus utama program ialah usaha membasmi Aedes. Unit Kawalan Serangga Perosak MPHS mengadakan kuiz interaktif, taklimat Denggi serta sesi soal jawab berkaitan langkah pencegahan. JPSPPA turut mengedarkan risalah dan ubat pembunuh jentik-jentik (Abate) untuk digunakan di rumah masing-masing.
Menurut MPHS, program ini membantu mengingatkan penduduk supaya lebih peka terhadap kebersihan kawasan dan mengambil tindakan segera bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes.
Penyertaan aktif penduduk dan kerjasama pelbagai agensi menjayakan program tersebut, selaras usaha MPHS memastikan kawasan kediaman lebih selamat dan sihat melalui prinsip “Hidup Dinikmati Dengan Sihat (HDDS)”.
MPHS memaklumkan pihaknya akan meneruskan program seumpama itu bagi menyokong sasaran menjadikan Hulu Selangor sebagai Bandar Rendah Karbon serta meningkatkan kualiti kebersihan dan keselamatan komuniti.




