MPKj sita premis gagal bayar cukai taksiran di Semenyih, Cheras dan Bangi

10 Dis 2025, 11:04 AM
MPKj sita premis gagal bayar cukai taksiran di Semenyih, Cheras dan Bangi

SHAH ALAM, 10 DIS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melaksanakan operasi kutipan cukai taksiran terhadap 10 premis yang gagal menjelaskan tunggakan, membabitkan kawasan Semenyih, Cheras, Kajang dan Bangi.

Operasi itu dijalankan secara berperingkat oleh Bahagian Hasil dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan MPKj bagi memastikan kutipan hasil dapat ditingkatkan serta menggalakkan pematuhan dalam kalangan pemilik premis.

"Beberapa premis yang merekodkan tunggakan tinggi telah dikenakan tindakan sitaan mengikut prosedur sah," menurut kenyataan MPKj.

Sebahagian besar pemilik premis tampil membuat pembayaran penuh sejurus sebelum atau selepas tindakan sitaan dijalankan, sekali gus membantu mengurangkan jumlah kes penunggakan berlarutan.

MPKj menegaskan kepada semua pemegang hartanah di kawasan MPKj untuk menyelesaikan bayaran cukai taksiran bagi mengelakkan dikenakan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya.

"Bayaran cukai taskiran mengikut tempoh yang ditetapkan, iaitu sebelum 28, 29 Februari dan 31 Ogos setiap tahun," tambah kenyataan itu lagi.

MPKj turut menggesa pemilik yang ingin menyemak status cukai taksiran agar segera menghubungi Bahagian Hasil bagi mengelakkan tunggakan meningkat.

Majlis turut menzahirkan penghargaan kepada pemilik premis yang melunaskan cukai, sambil menegaskan bahawa kutipan cukai amat penting bagi memastikan pembangunan dan penyelenggaraan kawasan pentadbiran berjalan lancar.