Kem Cendekia Ummah perkukuh jati diri, tingkat kefahaman mahasiswa

10 Dis 2025, 1:49 AM

SHAH ALAM, 10 DIS: Jati diri dan ketahanan sahsiah mahasiswa terus menjadi tumpuan melalui penganjuran Kem Cendekia Ummah 2025 anjuran Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut Jais, program julung kali yang mengetengahkan Modul Darurah Remaja Islam itu dirangka bagi memantapkan penguasaan ilmu fardhu ain serta meningkatkan kefahaman mahasiswa terhadap cabaran sosial kampus dan isu semasa.

“Peserta didedahkan dengan modul tarbiah, latihan dalam kumpulan, kerjasama berpasukan, serta sesi motivasi dan ceramah merangkumi akidah, identiti remaja Muslim, fiqh kontemporari dan cabaran kehidupan masa kini, dengan penglibatan ahli akademik dan penceramah Jais,” katanya melalui Facebook.

Selain pengisian ilmiah, kem berkenaan turut memberi fokus kepada pembentukan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa seiring agenda melahirkan generasi muda seimbang daripada aspek rohani, intelektual serta sosial.

Jais berharap inisiatif tersebut dapat memperkukuh usaha dakwah lapangan, mengeratkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan melahirkan mahasiswa berilmu, berakhlak serta berdaya tahan dalam menghadapi tuntutan dan cabaran semasa.