SHAH ALAM, 9 DIS: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan bantuan kepada wakil 10 rumah yang terjejas akibat ribut di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh pada Ogos lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Dato’ Ts Saipolyazan Mat Yusop berkata setiap wakil keluarga menerima bantuan RM1,000 bagi meringankan beban susulan kerosakan harta benda serta bumbung rumah.
“MBI sentiasa prihatin dan turun membantu jika berlaku bencana di Selangor. Usaha ini diharap dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka yang terkesan,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan mangsa ribut, hari ini.
Beliau berkata maklumat mangsa dikumpul melalui unit bencana daerah sebelum penilaian dibuat bagi menentukan kelayakan penerima.
“Sebarang bencana sebaiknya dilapor kepada ketua kampung supaya data dapat dikumpul dan bantuan segera disalurkan,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman merakam penghargaan kepada Yayasan MBI atas keprihatinan membantu penduduk yang ditimpa musibah.
“Yayasan MBI sangat berperanan dan melegakan kesusahan rakyat. Bantuan kepada mangsa ribut hari ini adalah antara pelbagai jenis bantuan yang disampaikan kepada pelbagai lapisan rakyat negeri ini,” katanya.




