SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus komited memperluas akses pendidikan digital yang inklusif menerusi Program Lifelong Learning IT (LIT) dan Lifelong Learning IT Soft Skills (LITs) 2025 selaras usaha memperkasa pelajar B40.
Menurut MBPJ, program berkenaan memberi manfaat kepada 120 pelajar dengan penekanan terhadap kemahiran digital dan kemahiran abad ke-21 bagi mempersiapkan mereka menghadapi cabaran dunia teknologi yang semakin pesat.
“Komitmen itu dizahirkan melalui Majlis Penganugerahan Sijil Tamat Kursus dan Penyertaan Program LIT & LITs 2025 yang berlangsung hari ini dan disempurnakan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon.
Secara keseluruhan, sebanyak 35 sesi latihan telah dilaksanakan sepanjang tempoh Mei hingga November 2025,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MBPJ turut menyerahkan sebuah komputer kepada setiap sekolah yang terlibat dalam program LITs sebagai sokongan tambahan kepada usaha memperkukuh pendidikan digital di peringkat sekolah.
MBPJ menegaskan komitmen berterusan itu untuk memperkasa pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan agar mereka bukan sahaja celik digital malah mampu menjadi sebagai generasi pembelajar sepanjang hayat yang kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.





