Dana RM100,000 perkasa program kepimpinan wanita Selangor

9 Dis 2025, 8:22 AM
Dana RM100,000 perkasa program kepimpinan wanita Selangor
Dana RM100,000 perkasa program kepimpinan wanita Selangor
Dana RM100,000 perkasa program kepimpinan wanita Selangor
Dana RM100,000 perkasa program kepimpinan wanita Selangor

SHAH ALAM, 9 DIS: Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) menerima suntikan dana RM100,000 daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat (KPWKM) bagi melaksanakan dua program pembangunan kepimpinan wanita di bawah Wanita Berdaya Selangor (WBS).

EXCO Pembangunan Wanita, Anfaal Saari berkata peruntukan melalui Program Perantis 2025 itu membolehkan WBS memperkukuh pelaksanaan program secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.

“Suntikan dana daripada KPWKM ini sangat signifikan kerana ia memperluas peluang pembangunan kepimpinan wanita di Selangor. Walaupun tempoh pelaksanaannya agak singkat sehingga Mac 2026, kami komited memastikan setiap modul dibangunkan dengan berkualiti dan memberi manfaat langsung kepada peserta.

“Dana tersebut merangkumi pelaksanaan SIWANIS 2025-2026 serta Akademi Kepimpinan Wanita dan Modul Ahli Majlis, masing-masing bernilai RM50,000,” katanya pada sidang media selepas melancarkan SIWANIS 2025-2026 di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Anfaal turut menegaskan peranan strategik SIWANIS dalam memperkukuh kapasiti kepimpinan wanita serta meningkatkan penglibatan mereka dalam proses dasar dan pembuatan keputusan negeri.

“Kita mahu melihat lebih ramai wanita bukan sahaja aktif dalam ruang awam, tetapi turut berada pada posisi pembuat keputusan. SIWANIS membina keyakinan, kompetensi dan kefahaman dasar untuk melahirkan pemimpin wanita yang bersedia memikul tanggungjawab tersebut,” jelasnya.

Seramai 56 peserta menyertai kohort keempat kali ini, terdiri daripada alumni SIWANIS dan aktivis politik wanita, bagi memperkukuh barisan pelapis penggubal dasar menjelang pilihan raya akan datang.

Program memberi tumpuan kepada pembinaan dasar peka gender, proses penggubalan dasar, peranan Ahli Dewan Negeri, serta pengukuhan kepimpinan melalui modul latihan berstruktur.

Inisiatif ini dijangka meningkatkan penglibatan wanita dalam pembuatan dasar serta menyumbang kepada pembinaan Selangor yang lebih inklusif, progresif dan berdaya saing menjelang 2030 selaras dengan Matlamat 4 Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026, iaitu mempercepat penyertaan, perwakilan dan pembuatan keputusan wanita dalam kehidupan awam dan politik.