Sidang Wanita Selangor lulus tiga usul, bawa ke peringkat atasan untuk tindakan lanjut

6 Jan 2026, 11:01 AM
Sidang Wanita Selangor lulus tiga usul, bawa ke peringkat atasan untuk tindakan lanjut
Sidang Wanita Selangor lulus tiga usul, bawa ke peringkat atasan untuk tindakan lanjut

SHAH ALAM, 6 JAN: Tiga usul yang diluluskan dalam Sidang Wanita Selangor 2025/2026 akan dibawa kepada peringkat atasan bagi memastikan ia dapat dilaksana sebaik mungkin.

Usul tersebut ialah mewujudkan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi khusus kepada anak kategori orang kelainan upaya (OKU), memperkasa aturan kerja fleksibel serta memperkukuh infrastruktur ekonomi penjagaan bagi menyokong ‘generasi sandwich’.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata selain itu, segala usul yang dibahaskan juga akan diteliti lebih lanjut selepas perwakilan menyampaikan perbahasan berkualiti sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan negeri.

“Untuk mewujudkan KAFA Integrasi khusus kepada anak istimewa, ia akan diusul kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor memandangkan dalam bidang kuasa yang diputuskan mereka.

“Bagi usul aturan kerja anjal, ia sedang dijalankan dan akan dikemukakan kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebab kita mahu kembangkan perkara ini kepada anak syarikat, GLC dan juga jawatan bawah kendalian negeri,” katanya selepas merasmikan penutupan Siwanis kohort hari ini.

Siwanis merupakan program simulasi Sidang DNS yang menghimpunkan wanita dalam satu platform bagi mengasah keupayaan kepimpinan serta mencungkil bakat wanita, khususnya dalam proses pembuatan dasar.

Dianjurkan sejak 2023, Siwanis menghimpunkan 56 perwakilan wanita dari seluruh Selangor serta wakil jemputan luar negeri, sekali gus memperluas penglibatan golongan itu dalam kepimpinan politik dan meningkatkan kepekaan terhadap keperluan pengetahuan semasa.