SHAH ALAM, 9 DIS: Dua wanita warga Filipina ditahan dalam satu operasi kutip di AEON Mall Tebrau City semalam selepas didapati memiliki dan menggunakan kad pengenalan palsu ketika bekerja sebagai tukang cuci.
JPN dalam kenyataan berkata operasi berkenaan dijalankan oleh anggota Bahagian Siasatan Khas (BSK) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya dengan kerjasama BSK JPN Johor sebelum menahan suspek masing-masing berusia 33 dan 53 tahun.
"Kedua-duanya kemudian dibawa ke JPN Johor dan diserahkan kepada BSK JPN Johor untuk siasatan lanjut.
"Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) PPN 1990 (Pindaan 2007), yang membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan." menurut JPN.
JPN memaklumkan operasi itu merupakan sebahagian daripada tindakan berterusan agensi tersebut membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri, khususnya dalam kalangan warga asing.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras penipuan dan penyalahgunaan kad pengenalan.


