SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Selangor sedia menjalin kerjasama strategik bersama atlet muaythai profesional bagi memperkasa pembangunan sukan tersebut di peringkat negeri.
Komitmen itu dinyatakan susulan pertemuan antara EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi bersama atlet muaythai Johan Ghazali atau lebih dikenali sebagai Jojo, yang kini menjalani latihan sepenuh masa di Thailand.
Menurut Najwan, beberapa aspek penting turut disentuh dalam perbincangan tersebut termasuk kejurulatihan, pembangunan pusat Latihan, penganjuran acara dan fasiliti kecergasan yang lebih menyeluruh.
“Kami membincangkan pelbagai perkara terkait pembangunan sukan muaythai merangkumi aspek kejurulatihan, fasiliti kecergasan, pusat latihan, penganjuran acara dan lain-lain,” katanya menerusi Facebook.
Kerjasama seperti ini, tambah Najwan, memberi ruang kepada atlet untuk menyumbang secara langsung terhadap hala tuju pembangunan sukan melalui perkongsian ilmu dan pengalaman.
Jojo turut menyatakan kesediaannya untuk memainkan peranan lebih aktif, sekali gus membantu Kerajaan Negeri merangka strategi jangka panjang yang memberi impak kepada pembangunan atlet.
Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif ini sebagai satu langkah proaktif membina ekosistem sukan lebih mampan, selain mengangkat muaythai sebagai sukan berprestij di peringkat negeri dan kebangsaan.




