Kejohanan UMS26, SYNC26 buka ruang atlet serlah potensi

12 Sep 2026, 7:06 AM
Kejohanan UMS26, SYNC26 buka ruang atlet serlah potensi

SHAH ALAM, 12 SEPT: Lebih 100 atlet muda dihimpunkan menerusi Ultimate Muaythai Showdown 2026 (UMS26) dan Selangor Netball Challenge 2026 (SYNC26) – Merdeka Edition di Strand Mall Kota Damansara, hari ini.

Pengarah Program Nazree Nasir berkata kedua-dua kejohanan itu memberi peluang kepada peserta merasai sendiri suasana pertandingan sebenar dalam sukan masing-masing.

“Kami percaya setiap atlet muda berhak untuk mendapat peluang bertanding, menonjolkan bakat dan merasai sendiri tuntutan pertandingan sebenar sekali gus dapat membina keyakinan diri, menguji kemampuan serta terus berkembang dalam bidang sukan yang diceburi.

“Melalui acara ini, kami berharap dapat menyumbang kepada pembangunan bukan sahaja atlet yang lebih baik, tetapi generasi muda yang memahami nilai disiplin, kerja berpasukan, ketahanan diri dan rasa hormat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Nazree, inisiatif seperti UMS26 dan SYNC26 penting bagi memastikan atlet muda mempunyai lebih banyak peluang untuk berkembang di luar laluan pembangunan sukan konvensional.

Aksi peserta Selangor Netball Challenge 2026 (SYNC26) – Merdeka Edition ketika berentap di Strand Mall Kota Damansara.

Kedua-dua kejohanan sukan belia itu merupakan hasil kerjasama Threesixty Sports, Strand Mall Kota Damansara, Taring Muaythai Fight Club, Pertubuhan Iltizam Ampang dan Persatuan Suara Hati Malaysia.

Penganjurannya turut mendapat sokongan Persatuan Muaythai Negeri Selangor (PMS) dan Persatuan Muaythai Malaysia (PMM).

UMS26 menghimpunkan lebih 70 petarung muda dari seluruh Malaysia termasuk Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan menerusi 38 perlawanan Muaysport amatur.

Pertandingan itu membabitkan atlet lelaki dan wanita daripada pelbagai kategori umur, termasuk UMS Cup Super Four serta Taring Cup Super Fight dan Super Four.

Sementara itu, SYNC26 – Merdeka Edition menampilkan lebih 30 pasukan bagi kategori bawah 12, 15, 18 dan 21 tahun, membabitkan pasukan sekolah, kelab akar umbi serta pasukan persendirian.

Penganjuran sempena Bulan Kemerdekaan itu turut membawa mesej perpaduan dan keterangkuman dengan menghimpunkan golongan muda daripada pelbagai negeri, sekolah, kelab dan komuniti menerusi sukan.

UMS26 dan SYNC26 – Merdeka Edition sekali gus menjadi platform mencungkil bakat baharu, mengeratkan hubungan komuniti serta membentuk generasi muda yang aktif, berdisiplin dan berdaya saing.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.