ad

SUKMA Selangor 2026: Petanque, muaythai dan silambam bakal dipertandingkan

8 Ogos 2025, 11:59 AM
SUKMA Selangor 2026: Petanque, muaythai dan silambam bakal dipertandingkan

SHAH ALAM, 8 OGOS: Selangor mencadangkan tiga sukan tambahan iaitu petanque, muaythai dan silambam untuk dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, kata EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi.

Beliau berkata cadangan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini selepas mengambil kira permohonan beberapa persatuan sukan.

“Selepas pengumuman Menteri Belia dan Sukan baru-baru ini, Sekretariat SUKMA Selangor menerima permohonan daripada persatuan sukan kebangsaan dan negeri agar menimbang semula senarai sukan tambahan.

“Setelah penelitian dan dibincang dalam MMKN yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar, kita bersetuju mencadangkan tiga sukan itu dan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA minggu depan.

“Senarai ini perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya 15 Ogos,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Menurutnya, cadangan tiga sukan itu dibuat kerana masih ada ruang untuk dikembangkan di peringkat negeri dan nasional.

“Sebanyak 30 sukan tetap disifatkan sebagai ‘high performance sport’ yang menjadi medan pemilihan ke temasya antarabangsa seperti Sukan SEA, Komanwel dan Olimpik.

“Namun kita lihat sukan seperti silambam dan muaythai ada pengikut tersendiri dan wajar diberi ruang atas asas dikemukakan persatuan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA 2026.

Dalam masa sama, beliau menegaskan matlamat utama Selangor menjadi tuan rumah bukan semata-mata untuk muncul juara.

“Penganjuran ini bukan untuk kejar pingat atau tempat teratas sahaja. Kita mahu ia bersifat adil, beri peluang kepada semua atlet untuk pamer bakat dan lonjak prestasi ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Mohd Najwan turut menggesa semua pihak menghentikan usaha mempolitikkan sukan atau memainkan sentimen perkauman.

“Sukan ialah medium perpaduan yang menyatukan rakyat merentas kaum, agama dan ideologi politik,” katanya lagi.

Pada 22 Julai lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan SUKMA Selangor 2026 bakal berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dari 5 hingga 14 September.

Penganjuran edisi kali ini bakal melibatkan sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri, kecuali acara berbasikal trek yang akan diadakan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan empat sukan tambahan telah diluluskan untuk SUKMA 2026 iaitu e-sukan, catur, kriket dan kabadi.

Sementara itu, tinju dan sofbol pula diangkat sebagai sukan wajib, menjadikan jumlah keseluruhan 34 jenis sukan akan dipertandingkan pada edisi akan datang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.