SHAH ALAM, 8 DIS: Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Segamat, Johor maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta keluar simpang di Kilometer 188, Jalan Johor Bahru-Seremban, dekat Buloh Kasap, semalam.
Nahas pada kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan Ahmad Fadhlan Fakhri Mohd Faizul, 20, penuntut diploma Sains Matematik parah, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang bekerja sambilan sebagai penghantar makanan dikatakan tidak sempat mengelak kereta yang keluar simpang terbabit secara tiba-tiba, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 60an itu keluar simpang Jalan Hussin menghala ke Jalan Kuari.
Katanya, sebuah motosikal dari arah Buloh Kasap menghala ke Segamat tidak sempat mengelak sebelum merempuh kereta terbabit.
"Akibat rempuhan itu menyebabkan mangsa parah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian. Pemandu kereta tidak cedera dengan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi balai trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9325811 bagi membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Segamat dalam kenyataan menzahirkan dukacita susulan berita kematian salah seorang penuntutnya.
"Dengan rasa penuh hiba, kami ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ahmad Fadhlan atas pemergian insan yang dikasihi.
"Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar buat kami semua, khususnya warga Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Segamat," katanya.


