DUN Taman Templer terima 225 gulung kain sumbangan KHATAM untuk golongan asnaf

8 Dis 2025, 8:22 AM
DUN Taman Templer terima 225 gulung kain sumbangan KHATAM untuk golongan asnaf
DUN Taman Templer terima 225 gulung kain sumbangan KHATAM untuk golongan asnaf

RAWANG, 8 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer menerima sumbangan 225 gulung kain pasang daripada jenama fesyen terkemuka tempatan, KHATAM, untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

Wakil rakyatnya Anfaal Saari berkata berkata kain tersebut akan dijahit menjadi pakaian lelaki dan wanita dengan menggunakan khidmat sukarelawan serta petugas Balai JPKK Kampung Melayu Batu 16, di sini yang berkemahiran dalam bidang jahitan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Anfaal Saari menerima sumbangan 200 gulung kain darpada KHATAM pada 8 Disember 2025.FOTO HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Terima kasih kepada KHATAM yang menyumbangkan kain premium dalam jumlah besar kepada DUN Taman Templer. Insya-Allah, awal Disember ini kita mula proses memotong dan menjahit pakaian sebelum sebahagiannya disalurkan kepada golongan asnaf bagi persiapan menyambut Aidilfitri tahun depan.

“Sebahagian lagi akan dijual pada harga rahmah sebagai upah kepada petugas atau sukarelawan yang terlibat. Kaedah jualan dan lokasinya akan dibincangkan kemudian,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Anfaal, lokasi penyimpanan kain dipilih di Balai JPKK berkenaan kerana pusat komuniti itu antara penerima dana pembelian mesin jahit daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Projek Sejati Madani.

“Inisiatif ini turut membuka peluang kepada wanita setempat menambah pendapatan melalui kerja-kerja jahitan menggunakan kain sumbangan KHATAM,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer Anfaal Saari bertemu media setelah menerima sumbangan 200 gulung kain darpada KHATAM kepada DUN Taman Templer pada 8 Disember 2025.FOTO HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Pengurus Kewangan KHATAM, Muhd Haziq Rizzuan berkata sumbangan tersebut merupakan sebahagian projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain inisiatif melestarikan alam sekitar.

“Ini kali pertama KHATAM bekerjasama dengan DUN kerana kami berpendapat adalah lebih baik kain ini dimanfaatkan berbanding dilupuskan di tapak pelupusan. Ia bukan sahaja mengurangkan pembaziran tetapi turut membantu golongan asnaf.

“Kami juga mengalu-alukan sekiranya ada wakil rakyat lain ingin berkolaborasi dalam program seumpama ini,” katanya.

Pengurus Kewangan Khatam Muhd Haziq Rizzuan bertemu media selepas sumbangan 200 gulung kain darpada KHATAM kepada DUN Taman Templer pada 8 Disember 2025.FOTO HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR