MBSA: Denda RM1,000 premis guna petak parkir awam tanpa kebenaran

8 Dis 2025, 2:39 AM
MBSA: Denda RM1,000 premis guna petak parkir awam tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 8 DIS: Bengkel kereta, kedai aksesori automotif, pusat cuci kereta dan kedai tayar di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berdepan denda sehingga RM1,000 jika didapati menggunakan petak parkir awam tanpa kebenaran.

Timbalan Setiausaha Pembangunan MBSA, Aniza Osman berkata premis terbabit diwajibkan menyewa dua petak parkir di hadapan pintu masuk kedai masing-masing.

Menurutnya, terdapat 431 bengkel kereta, kedai aksesori, pusat cuci kereta dan kedai tayar di bawah bidang kuasa MBSA.

"Premis yang menggunakan petak parkir awam untuk kerja membaik pulih atau mempamerkan barangan menyebabkan kesulitan kepada pengguna jalan raya lain.

"Di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Perdagangan, Perniagaan dan Perindustrian (MBSA) 2007, denda RM1,000 boleh dikenakan," katanya lapor The Star.

Kesalahan itu termasuk meletakkan kon bagi menempah petak parkir, menyusun tayar di ruangan tersebut atau menjadikannya laluan peribadi tanpa membayar caj parkir.

Terdahulu, Aniza mempengerusikan sesi libat urus berhubung Garis Panduan Aktiviti Perkhidmatan Kereta di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, di sini.

Lebih 100 pemilik perniagaan perkhidmatan kereta seperti bengkel, kedai aksesori automotif, pusat cuci kereta dan kedai tayar menghadiri sesi berkenaan.

"Pemilik perniagaan telah dimaklumkan mengenai peraturan kerana kita tidak mahu mereka menyebabkan halangan," katanya.

Aniza berkata pihak berkuasa tempatan sedar akan kesukaran dihadapi orang ramai untuk mendapatkan parkir, terutama di kawasan komersial.

"Tujuan penguatkuasaan ini bukan untuk menjejaskan perniagaan tetapi bagi memastikan kelancaran trafik dan melindungi kepentingan awam," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MBSA, Vincent Chow menggesa Jabatan Penguatkuasaan meningkatkan pemantauan penyalahgunaan petak parkir di kawasan komersial.

Beliau turut menggesa orang ramai membuat aduan jika terdapat penggunaan petak parkir awam secara tidak sah.