MBPJ lancar laporan pembangunan mampan, perkukuh komitmen laksana agenda SDG

7 Dis 2025, 5:30 AM
MBPJ lancar laporan pembangunan mampan, perkukuh komitmen laksana agenda SDG
MBPJ lancar laporan pembangunan mampan, perkukuh komitmen laksana agenda SDG

SHAH ALAM, 7 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Laporan Kajian Penilaian Tempatan Secara Sukarela, sebuah dokumen penting yang menjadi rujukan utama dalam menilai pencapaian bandar itu terhadap 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata laporan komprehensif tersebut menggambarkan tahap sebenar pelaksanaan SDG di Petaling Jaya, termasuk keberhasilan dasar serta cabaran yang perlu ditangani.

“Laporan ini merangkumi profil bandar, penilaian asas, penjajaran dasar dan pelan MBPJ dengan SDG serta analisis data prestasi untuk setiap matlamat pembangunan mampan.

“Ia juga menunjukkan komitmen MBPJ untuk lebih telus melalui penyediaan data jelas dan proses membuat keputusan yang terbuka kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Kajian Penilaian Tempatan Secara Sukarela dan Halatuju Pembangunan Mampan Petaling Jaya di Laman MBPJ, semalam.

Seramai 13 komuniti diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Komuniti 𝑃𝑒𝑡𝑎𝑙𝑖𝑛𝑔 𝐽𝑎𝑦𝑎 𝑆𝑚𝑎𝑟𝑡, 𝑆𝑢𝑠𝑡𝑎𝑖𝑛𝑎𝑏𝑙𝑒 & 𝑅𝑒𝑠𝑖𝑙𝑖𝑒𝑛𝑡 (PJSSR) 2025 yang berlangsung di Laman MBPJ, semalam. Foto Facebook MBPJ

Pada majlis sama, MBPJ turut melancarkan Halatuju Pembangunan Mampan Petaling Jaya, dokumen yang menggariskan lima keutamaan tindakan segera bagi memperkukuh agenda pembangunan bandar berdaya huni.

Menurut Mohamad Zahri, lima keutamaan tersebut merangkumi kemiskinan bandar dan ketidaksamarataan ekonomi, tekanan alam sekitar, akses kesihatan, pembelajaran awal kanak-kanak serta aspek data, tadbir urus dan pemantauan.

“Melalui halatuju ini, MBPJ akan melaksanakan beberapa inisiatif transformasi termasuk pembentukan makmal pendapatan bandar, peningkatan kediaman mampu milik, pembangunan pengangkutan rendah karbon dan pelaksanaan pembiayaan mampan.

“MBPJ juga akan memperkukuh kerjasama dengan pelbagai sektor melalui mekanisme lebih tersusun dan berterusan bagi membina ekosistem pembangunan bandar yang mampan untuk masa depan,” katanya.