Transformasi sisa kepada tenaga baharu lebih praktikal - KDEBWM

7 Dis 2025, 4:53 AM
Transformasi sisa kepada tenaga baharu lebih praktikal - KDEBWM

SHAH ALAM: KDEB Waste Management (KDEBWM) terus mengorak langkah mentransformasikan pengurusan sisa domestik dengan menukar sampah kepada tenaga baharu, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan yang semakin terhad di Selangor.

Pengarah Urusannya, Dato' Ramli Mohd Tahir berkata, kaedah tersebut lebih praktikal berbanding kaedah menanam sampah (landfill) di tapak pelupusan yang digunakan pada masa kini.

"Kaedah menukar sisa domestik menjadi sumber tenaga baharu ini telah diguna pakai di negara maju seperti Jepun, Turki dan Amerika.

"Kos tanah di Selangor sangat mahal dan kita perlu menggunapakai teknologi terkini dalam pengurusan sampah bagi menggelak kos pengurusan sampah yang akan terus meningkat pada masa hadapan jika kita bergantung pada kaedah konvensional," katanya.

Beliau berkata ketika menjadi panel program Sesi Hati & Minda Pemimpin, di Pentas Piano, Pesta Buku Antarabangasa (SIBF) 2025 di sini, semalam.

Sesi perkongsian selama satu jam itu dikendalikan Pengarah Perbadanan Kota Buku, Khair Ngadiron serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar.

Pengarah Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad menunjukkan buku Ramlee yang mengisahkan seorang budak lelaki ingin melihat persekitarannya bersih dan teratur. Foto PPAS

Dalam pada itu, turut berlangsung majlis peluncuran buku Ramlee dan Robot Lori Merah terbitan KDEBWM dengan kerjasama Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di pentas yang sama.

Majlis peluncuran turut diserikan dengan kehadiran Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Muhamad.

Buku hasil garapan Anizon Husin dan ilustrasi oleh Azrul Amri setebal 28 muka surat ini dijual pada harga RM15 senaskhah.

Buku dalam bentuk dwibahasa (BM–BI) ini disampaikan dalam bentuk cerita kanak-kanak yang ringan, ceria dan mudah difahami.

Ia mengisahkan Ramlee, seorang budak lelaki yang ingin melihat persekitarannya bersih dan teratur.

Melalui pengembaraan bersama Robot Lori Merah, Ramlee belajar mengenai jenis-jenis sampah, cara menguruskan sisa dengan betul serta tanggungjawab menjaga alam sekitar.

Apa reaksi anda?