SHAH ALAM, 26 NOV: Kerja pembersihan pascabanjir giat dijalankan KDEB Waste Management (KDEBWM) hari ini di tiga kawasan terjejas iaitu Taman Sri Nanding, Kampung Sungai Serai dan Padang Jawa.
Menurut KDEBWM, pasukan operasi Cawangan Kajang tiba sejak awal pagi di Taman Sri Nanding ketika penduduk mula mengeluarkan sisa bah selepas air surut.
“Penduduk setempat telah mula mengeluarkan sisa banjir dari kediaman mereka, dan jumlah sisa dijangka akan meningkat apabila kerja pembersihan intensif diteruskan oleh penduduk dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi Facebook.
Situasi hampir sama berlaku di Kampung Sungai Serai, dengan tumpuan operasi kepada pengumpulan dan pengalihan sisa yang terkumpul sepanjang kerja pembersihan penduduk.
Di Padang Jawa, pasukan KDEBWM Shah Alam melaksanakan kutipan secara berperingkat, memberi keutamaan kepada kawasan yang paling awal dibersihkan.
Semua operasi dipantau penyelia kawasan bagi memastikan kutipan berjalan teratur dan selamat.
KDEBWM berkata pihaknya akan terus menggerakkan tenaga kerja dan aset sehingga proses pemulihan selesai.
Terdahulu, Pengarah Urusan KDEBWM Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata kira-kira 3,000 pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) bersedia digerak untuk membantu mangsa banjir membersihkan kediaman.
Setakat semalam, 23 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tujuh daerah di Selangor, berikutan situasi banjir yang masih berlarutan.
Kuala Selangor mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan sembilan PPS membabitkan 1,741 mangsa, diikuti Klang dengan empat PPS, Shah Alam dan Sabak Bernam (3 PPS), Hulu Langat (2 PPS), manakala Hulu Bernam dan Sepang masing-masing satu PPS.
Kerajaan Negeri sebelum ini sudah mengarahkan semua agensi terlibat agar bersedia sepenuhnya menghadapi Monsun Timur Laut termasuk dari segi logistik dan bantuan kecemasan.





