SHAH ALAM, 7 DIS: Peniaga sekitar Sungai Pelek dan daerah Sepang menyertai Program Pemerkasaan Pendigitalan 2025 bagi meningkatkan kemahiran penggunaan teknologi digital dalam urusan perniagaan.
Program anjuran Unit Teknologi Maklumat Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) itu memberi pendedahan kepada peniaga tentang kemudahan digital disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut, termasuk aspek pelesenan dan perkhidmatan perbankan.
Antara pembentang yang turut serta ialah wakil Ambank, Jabatan Pelesenan dan Unit Teknologi Maklumat MPSepang yang berkongsi panduan penggunaan platform digital serta kaedah transaksi selamat.
Menurut MPSepang, pendigitalan kini menjadi keperluan berikutan perubahan tingkah laku pengguna yang semakin bergantung kepada sistem dalam talian dan urusan tanpa tunai.
Sehubungan itu, PBT berkenaan melaksanakan langkah proaktif bagi memastikan peniaga di daerah Sepang tidak ketinggalan, seterusnya mampu menyesuaikan diri dengan ekosistem perniagaan moden.


