Tengku Permaisuri Selangor sempurnakan Majlis Anugerah Ilustrasi Yusof Gajah 2025

5 Dis 2025, 3:18 PM
Tengku Permaisuri Selangor sempurnakan Majlis Anugerah Ilustrasi Yusof Gajah 2025
Tengku Permaisuri Selangor sempurnakan Majlis Anugerah Ilustrasi Yusof Gajah 2025
Tengku Permaisuri Selangor sempurnakan Majlis Anugerah Ilustrasi Yusof Gajah 2025
Tengku Permaisuri Selangor sempurnakan Majlis Anugerah Ilustrasi Yusof Gajah 2025
Tengku Permaisuri Selangor sempurnakan Majlis Anugerah Ilustrasi Yusof Gajah 2025

SHAH ALAM, 5 DIS 2025: Majlis Penyampaian Anugerah Ilustrasi Yusof Gajah 2025 (YGIA) tahun ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Anugerah ini diadakan bagi menghormati legasi seni dan sumbangan besar Allahyarham Yusof Gajah, pelukis dan ilustrator buku kanak-kanak tersohor yang terkenal dengan gaya ilustrasi bertemakan gajah penuh imaginasi dan warna.

Karya beliau bukan sahaja mencorakkan identiti tersendiri dalam dunia seni, malah menjadikannya figura penting dalam perkembangan ilustrasi kanak-kanak di Malaysia.

“Penganjuran YGIA bukan sahaja mengiktiraf kreativiti dan bakat para ilustrator, tetapi turut berperanan menyemarakkan minat generasi baharu untuk terus berkarya serta memperkayakan landskap seni ilustrasi negara.

“Anugerah ini adalah inisiatif khas Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) untuk mencari dan mencungkil bakat ilustrator tempatan, khususnya dalam bidang buku bergambar kanak-kanak. YGIA mula dianjurkan pada 2023 sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor,” maklum PPAS menerusi kenyataan.

Bagi edisi 2025, proses penjurian dijalankan pada awal November melibatkan gabungan panel juri nasional dan antarabangsa, termasuk pakar berpengalaman dalam seni ilustrasi dan penerbitan buku kanak-kanak:

Juri Malaysia: Prof. Dr. Md Sidin Ahmad Ishak (Pengerusi); Prof. Dr. Muliyadi Mahamood; Lim Lay Koon; Nor Azhar Ishak; Dr. Suraya Md Nasir

Juri Antarabangsa: Zhang Mingzhou (China); Sahar Tarhandeh (Iran); Prof. Dr. Anastasia Arkhipova (Russia)

Tahun ini, YGIA menerima 384 penyertaan, terdiri daripada 272 kategori dewasa dan 112 kategori remaja, menunjukkan minat yang semakin kukuh terhadap bidang ilustrasi serta keyakinan peserta terhadap platform ini sebagai medan meraikan kreativiti dan bakat seni.

Hadiah utama bagi kategori dewasa: Johan: RM7,000; Naib Johan: RM6,000; Tempat Ketiga: RM5,000; Saguhati: RM500 untuk 15 orang

Hadiah utama bagi kategori remaja: Johan: RM5,000; Naib Johan: RM4,000; Tempat Ketiga: RM3,000; Saguhati: RM500 untuk 15 orang

Selain itu, anugerah bagi penyertaan terbanyak turut disediakan bagi kategori institusi dan sekolah, masing-masing dengan hadiah RM2,500.

PPAS berharap melalui YGIA, lebih ramai generasi muda akan terus mengembangkan bakat dalam seni ilustrasi dan meneruskan legasi kreatif yang ditinggalkan Allahyarham Yusof Gajah, sekali gus memperkukuh identiti seni visual negara.