Soh Wai Ching juara dunia larian menara, MBPJ kembangkan bakat remaja

5 Dis 2025, 11:23 AM
Soh Wai Ching juara dunia larian menara, MBPJ kembangkan bakat remaja

SHAH ALAM, 5 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini meraikan kejayaan atlet tajaan mereka, Soh Wai Ching, yang sekali lagi mengharumkan nama negara selepas dinobatkan sebagai Pelari Menara Nombor Satu Dunia serta Juara Keseluruhan Shanghai Tower Towerrunning Challenge di Shanghai Tower.

Menurut kenyataan MBPJ di Facebook, kejayaan itu dicapai selepas Wai Ching menamatkan cabaran 119 tingkat (552 meter) dengan catatan masa 18 minit 3 saat, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai atlet larian menara terbaik dunia.

“Musim 2025 menyaksikan Soh meraih 23 gelaran juara, memecahkan 13 rekod baharu dan terus mengukuhkan dominasi di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu lagi.

Seiring kejayaan tersebut, MBPJ memperkukuh Fasa 2 pembangunan atlet pelapis melalui program pencarian bakat remaja berumur 10 hingga 17 tahun di Menara MBPJ, lokasi rasmi pemilihan. Soh dijadual mengetuai sesi penilaian atlet muda tersebut.

Selain itu, MBPJ juga bakal menganjurkan Festival Towerrunning pada 20 Disember bersempena program Leisure @PJ State 52. Antara pengisian utama festival itu ialah:

  • Pengumuman rasmi Malaysia Book of Records bagi Klinik Larian Menara melebihi 100 minggu berturut-turut.

  • Klinik intensif bersama Soh untuk remaja berusia 10–17 tahun.

  • Perasmian Star Climb Machine, fasiliti latihan rasmi Malaysia Towerrunning Associate (MTA).

  • Pembukaan pendaftaran rakan strategik untuk Projek Mural Menegak Menara MBPJ.

Warga Petaling Jaya dan komuniti sekitarnya dijemput hadir memeriahkan program serta menyokong pembangunan sukan ini.